Nanti sat… Jangan dok Ghoplah!

Segala pujian bagi Allah, Yang Maha Menguasai atas segala-galanya. Salawat dan Salam ke atas Nabi Muhammad (s.a.w.), keluarga serta para sahabat baginda.
Assalaamu’alaikum.
Ahlan wa Sahlan dan terima kasih serta penghargaan yang tak terhingga kepada anda kerana sudi menziarahi laman ini.
‘Nanti Sat’ mengajak anda merenung sejenak di antara perkara-perkara yang sering kita lakukan; yang mungkin dipandang umum sebagai remeh, tetapi besar impaknya terhadap perjalanan hidup kita.
Hidup di dunia ini hanya sekejap. 50 tahun rasa sekejap. 100 tahun pun rasa sekejap; kerana lumrah kehidupan kita penuh dengan kelalaian.
“Pada hari mereka melihat hari berbangkit itu, mereka merasa seakan-akan tidak tinggal (di dunia) melainkan (sebentar sahaja) di waktu petang atau pagi.” - Maksud dari Al-Quraan (79:46).
Kehidupan kekal adalah kehidupan di akhirat. Bagaimana keadaan kehidupan kita di hari tersebut? Ia bergantung kepada tempahan yang kita buat di dunia ini. Di sinilah persediaan nya.
“Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk meng’abdikan diri kepadaKu.” - Maksud dari Al-Quraan (51:56).
Menjadi abdi kepada Allah, tidaklah boleh menjadi abdi kepada yang lain, walau pun ‘part time’. Itu adalah kederhakaan yang amat besar dan tidak mendapat keampunan Allah.
Allah memiliki serta berkuasa penuh ke atas seluruh alam. Dialah yang maha berkuasa menentukan segala-galanya. Dialah yang memberi rezeki. Dialah yang memelihara segala ciptaanNya. Dialah tempat meminta. Dialah tempat berlindung. Dialah tempat pergantungan kita. Ringkasnya, Dialah segala-galanya bagi kita.
Supaya kita benar-benar beramal mengikut landasan yang benar, yang berlandaskan akhlaq yang ditunjuk oleh Rasulullah. Sudah tentu sandaran kita sebagai umat Islam adalah Al-Quran dan Al-Hadith. Menurut riwayat beberapa ulama’, di dalam Khotbah Wida’nya, antara lain Rasulullah bersabda yang bermaksud “Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara. Sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.”
Ungkapan “Jangan dok ghoplah” adalah ungkapan yang selalu disebut di negeri-negeri utara tanahair, terutama Pulau Pinang. Tetapi tidak hairan juga kalau ada di antara orang-orang Penang pun tak faham makna sebenar perkataan “Ghoplah” yang selalu mereka sebut-sebut. “Ghoplah” sebenarnya dari perkataan Arab, ‘gho-fa-la‘ yang bermaksud lalai. Di dalam Al-Quran terdapat banyak sekali peringatan kepada orang-orang yang ‘ghoplah’ ini; yang disebut sebagai “Al-Ghoofiluun”. Kita mohon perlindungan dengan Allah agar kita tidak termasuk di dalam golongan ini.
Saya amat berharap laman ini dapat kita jadikan suatu medan untuk kita saling mencurahkan pandangan serta menambah ilmu yang bermanfaat, buat panduan meniti kehidupan menuju akhirat.
Mudah-mudahan kita akan sama-sama dapat memanfaatkan kesempatan ini untuk melalui kehidupan yang sekejap ini, yang tidak lain, hanyalah ujian Allah.

Hjsmael


